Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, September 7, 2009

Sepetang Kenangan

I
Dalam perjalanan balik dari pasar Ramadan lewat petang tadi aku singgah sebentar ke rumah emak. Rumah tua itu tinggal sepi. Emak hanya sesekali di bawa balik ke rumah itu memandangkan keadaan kesihatannya tidak membolehkannya dibiarkan berseorangan. Emak lebih selesa tinggal dengan adik perempuanku di Felda Besout. Kadang-kadang emak dijaga oleh emak saudaraku di Jalan Paku Bidor. Entah mengapa emak tidak mahu tinggal denganku. Sejak ayah tiada, walaupun emak nampak sihat kini, tetapi ingatannya sudah banyak berkurangan. Nama anak cucunya pun sering kali dia lupa; kadang-kadang keadaan jadi lucu kadang-kadang jadi keliru..
II
Berbalik tentang rumah tua yang terbiar. Rumah itu sebenar masih dihuni oleh tiga ekor kucing kesayangan ayah ketika hayatnya dan beberapa ekor ayam yang diketuai oleh ayam jantan tua yang amat manja dengan arwah ayah, diberi nama Si Kudung. Kedua-dua kaki Si Kudung tidak mempunyai jari tetapi ada taji yang agak panjang. Dialah menjadi "taiko" yang digeruni oleh ayam-ayam jantan yang lain. Seekor ayam betina yang ada jambul tambahan di kepalanya sudah lama tidak kelihatan, mungkin di baham anjing barangkali. Ayah mememberi nama Saloma kepada ayam itu.
Sudah menjadi tugasku setiap petang memberi kucing dan ayam itu makan. Seronok juga setiap kali aku tiba, kucing-kucing dan ayam-ayam itu datang menyambut.
III
Pokok rambutan, durian, dokong dan manggis sedang berbuah. Kalau ayah masih ada tentu dia gembira kerana penat lelahnya sedang mengeluarkan hasil. Buah kelapa bersepahan di tanah, maklumlah anak-anak ayah kini lebih selesa membeli santan di pasar daripada mengupas, mengukur(menggunakan kukur elektrik sekalipun) dan selepas itu terpaksa pula memerah santan. Pokok kurma yang ayah tinggalkan juga sedang tumbuh subur. Teras batangnya kini sudah sebesar betis. Tingginya sudah menjangkau paras bahu.
IV
Kira-kira 40 tahun dulu ketika emak dan ayah masih muda dan aku masih kanak-kanak ingusan, di bulan Ramadan begini emak mengambil upah membuat kuih putu kacang dan dodol. Selain mengambil upah emak juga menjual kuih tersebut. Lesung daripada teras pokok bungau itu sudah tiada tetapi antannya yang sudah patah masih ada. Pernah satu ketika ayah membuat lesung indik / lesung kaki. Oleh kerana itulah satu-satunya lesung indik yang ada di kampung, ia menjadi tarikan kepada kawan-kawanku. Apabila sahaja emak hendak menumbuk kacang hijau atau pulut, kawan-kawanku sudah sedia hendak membantu, maklumlah tiada hiburan lain yang ada ketika itu. Lesung indik buatan ayah, sering juga digunakan oleh oleh orang-orang kampung yang lain untuk menumbuk pulut dan sebagainya.
V
Dalam keadaan matahari sudah hampir sangat hendak terbenam, aku masih di rumah tua itu. Kali ini aku melangkah ke belakang rumah. Huh, sudah tidak terurus. Jika ayah ada, tentu semuanya bersih. Tapak telaga mandi masih ada tetapi sudah dipenuhi sampah sarap dan daun-daun kering. Rumpun buluh lemang yang ada di sisinyapun sudah menyembah bumi. Pokok keriang yang ayah tanam tanpa tujuan khusus sudah sebesar pemeluk tetapi daunnya jarang-jarang. 40 tahun dulu, di sinilah aku mandi di kedinginan pagi untuk ke sekolah... huh.. betapa dingin airnya. Tapak telaga minum pula sudah tiada kerana ditumbuhi pohon durian yang bercantum dengan pohon jering di pangkal, kerana ayah menanam kedua-duanya terlalu rapat. Walaupun seperti bercantum, jering tetap jering, durian-tetap durian.
VI
Menurut kata adikku, dia dan keluarganya akan menyambut hari raya di rumah tua ini. Baguslah. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak rumah tua ini tidak lagi sepi, walaupun untuk seketika.

3 comments:

  1. Salam cikgu
    ...teringat kembali nostalgia semasa saya tinggal dengan nenek dan datuk di kampung.Permainya desa...

    ReplyDelete
  2. salam cikgu nazri
    rumah mak dan ayah saya pun dah terbiar... balik sesekali sedih dan memang penuh nostalgia. pencuri pun dah berapa kali masuk bersuka ria...

    ReplyDelete
  3. Puan Hazeleyed dan Cik Siti: Terima kasih kerana masih sudi bertamu. Dah jadi adat rumah tua akan terbiar..lebih-lebih lagi apabila anak-anak membina rumah sendiri..Apa pun selamat berpuasa..

    ReplyDelete