Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, March 10, 2009

Lubuk Degung

Pagi tadi aku ke Lubuk Degung dan membawa sekali Azim anak bongsuku. Lubuk Degung merupakan kawasan air terjun yang terletak di kaki gunung kira-kira 6 km dari Pekan Bidor. Dalam tahun-tahun 1960-an hingga pertengahan 1970-an Lubuk Degung menjadi kawasan perkelahan yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar . Setiap minggu kawasan perkelahan ini sesak dan padat. Kawasan perkelahan yang sangat indah ini dihiasi air terjun serta jeram-jeram berair deras dan lubuk-lubuk tertentu yang tenang tapi mempunyai kedalaman yang luar biasa. Awas, nampak seperti airnya separas lutut tetapi mungkin sebenarnya separas dada.
Lubuk Nombor Dua (gambar 2004)
(- kat atas jeram tu, galah pun hapus oii.. Lubuk Nombor Satu aku takut nak pergi, licin, aku tak tahu berenang)
Ketika meniti zaman remaja, boleh dikatakan aku serta rakan-rakan sebaya saban minggu berbasikal ke sini, sementelahan kawasan ini terletak lebih kurang tiga kilometer dari rumah opah (nenek) aku. Pada tahun 1978, Lubuk Degung menempuh zaman kemalapan kerana kawasan perkelahan ini termasuk ke dalam ‘kawasan hitam’ iaitu kawasan yang terdapat ancaman pengganas komunis. Sebagai kawasan larangan, Lubuk Degung tidak lagi dikunjungi pelancong yang ingin menikmati kedinginan air gunung. Mereka beralih ke kawasan-kawasan perkelahan yang lain seperti Kuala Woh, Lata Iskandar, Lata Pongsu, dan Lata Kinjang.
Pada sekitar tahun 1990, atau lebih awal sedikit, setelah ancaman komunis tidak lagi wujud, kawasan ini dibuka semula, namun ia terpaksa bergelut untuk mengembalikan kegemilangannya. Pada hari ini sekiranya terdapat tiga puluh orang yang mandi-manda di sini, sudah dikira amat meriah. Agak menyedihkan kerana tidak sampai satu kilometer dari sini terdapat dua buah ladang ternakan babi. Menghairankan juga, di kawasan hulu sungai ladang ini dibenarkan beroperasi. Tidak sampai 100 meter dari situ terdapat perkampungan Orang Asli. Bayangkan pencemaran bau yang terpaksa mereka hadapi.

Lubuk Nombor Tiga (gambar 2004).. ada orang ternampak makhluk sekerat orang sekerat ular kat atas batu tu.. iye ke?
Dari atas jambatan tu, ramai yang terjun ke Lubuk Nombor Tiga, tapi masih tak jejak ke tanah. Kat lubuk ini pun ada dua tiga orang mati lemas. Budak Asli tu relaks je memancing. (Gambar 2004)

Lubuk Degung ‘keras’? Jawapanku, ya, kerana dari segi fizikalnya yang berbatu-batu tentunya kawasan ini keras. Dari sudut pandangan orang tua-tua (termasuk masyarakat Orang Asli) kawasan ini mempunyai kehidupan yang tersendiri, misteri dan tersembunyi. Ia perlukan satu nyawa manusia setahun. Secara kebetulan setiap tahun ada sahaja yang mati lemas di Lubuk Degung. Dan pagi tadi pasukan bomba, polis dan orang ramai sedang mencari mayat seorang pemuda India yang dipercayai lemas di satu lubuk yang agak dalam di atas sana. Pada kiraanku tidak kurang 20 orang telah menemui ajal di Lubuk Degung, tetapi tidak seorangpun mereka yang mati lemas itu berasal dari Bidor. Kata seorang Orang Asli yang kutemui berkata, “benda tu tak mahu orang Bidor”. Aku hanya diam, tidak mengiyakan dan tidak menidakkan.

9 comments:

  1. DAH LAMA TAK MANDI SUNGAI, BUKAN TAKDE SUNGAI BERDEKATAN TAPI AIRNYA KUNING BERSELUT DEK KERAKUSAN MANUSIA MENCARI UNTUNG MENGAUT PASIR SUNGAI SERTA KOTORAN DARI AIR LIMBAHAN DAPUR DAN PASAR.

    TERINGAT KENANGAN SEMASA KANAK-KANAK, SUNGAI BERSIH DAN KAMI BEBAS MANDI DILUBOK MANA SAHAJA MALAH IANYA PERCUMA. KINI SENARIO ITU TINGGAL KENANGAN, JIKA TERINGIN NAK MANDI TEMPAT YANG BERSIH, SEDIAKAN DUITNYA SEBAB SEKARANG SEMUA BERBAYAR..

    ReplyDelete
  2. lubuk degung? memang tak pernah pegi pun...masa kecik kecik suka mandi kat kampung poh ajer...sungai dia pun jernih...

    ReplyDelete
  3. Terimakasih kerana memberi komen. Nak mandi kat sini, semua free. Untuk Mat: Apa orang Bidor tak pernah ke sini. Kg Poh tu tak ada lubuk, cuma banyak jeram.

    ReplyDelete
  4. jeram ler bagus...kat tempat pakcik sutanoli bela ikan dulu dulu...(kenal ker pakcik sutanoli?...ehehehe)

    ReplyDelete
  5. Kenal sangat.Dulu-dulu kami termasuk omak-omak saudara kau Mat berjalan kaki dari Jln Paku ke Lubuk Degung tu.

    ReplyDelete
  6. nostalgia betul...duduk kat kampung jalan paku dulu dulu...dari jalan bukit bidor park sampai ke jalan nak pegi lubuk degung...rumah kat kiri kanan semua bersaudara dan ada kaitan satu sama lain...

    ReplyDelete
  7. malu je aie..tak reti berenang. Ingat tak telekung bergayut di pokok jambu??

    ReplyDelete
  8. Baru minggu lepas dtg dgn keluarga

    ReplyDelete
  9. Baru minggu lepas dtg dgn keluarga

    ReplyDelete