Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, March 27, 2009

Surau Kampung Cegar

Untuk minggu keduanya aku bersembahyang Jumaat di surau Kampung Cegar berikutan Masjid Bidor dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baru. Masjid itu sudah agak uzur, maklumlah, kali akhir dibaiki pada awal tahun 1970-an. Sehingga masjid itu itu disiapkan (berapa lama, entahlah), ahli kariah terpaksa bersolat di surau-surau yang terdapat di kampung-kampung tertentu. Lama juga aku tak berjemaah maghrib atau isya di surau itu, kerana jarak masjid dan surau Kampung Cegar yang berdekatan, aku lebih selesa ke masjid sahaja.

Ketika menunggu masuknya waktu Jumaat tadi, sempat juga aku mengimbas kenangan sewaktu remaja di surau itu. (Sepatutnya waktu itu kuhabiskan dengan berzikir atau membaca al-Quran!) Walaupun surau itu sudah dua kali diubah suai tetapi suasana di tahun-tahun 1970-annya masih dapat dirasakan.

Aku dan beberapa orang sahabat yang berusia belasan tahun ketika itu bukan sahaja menjadikan surau itu sebagai tempat bersembahyang malahan sebagai tempat mengulangkaji pelajaran, bermain dam, bermain catur, tempat melepak, bermain muzik (di kaki lima surau), mencucuk kumbang yang bersarang di lubang-lubang di tiang dan mencuri-curi pandang anak-anak gadis Pak Khalid yang tinggal bersetentangan dengan surau itu. Ada orang tua yang melarang dan ada pula yang membiarkan kami. Anak muda sepatutnya didekati bukan dibenci.
Tapi kini, hanya aku yang kembali tinggal di kampung ini, sementara sahabat-sahabat yang lain memilih untuk tinggal di tempat lain.

Orang tua-tua yang dulunya menjadi imam, bilal, siak dan makmum semuanya telah tiada. Generasi selepas mereka mengambil giliran mengimarahkan surau itu pula. Malangnya tidak pula kelihatan remaja hari ini yang menggantikan tempat kami melepak di situ.

Ketika bangunan asal surau itu siap dibina sekitar akhir 1960-an, aku pernah mengalami satu peristiwa ganjil. Ketika itu aku berusia sekita 7 atau 8 tahun. Sedang orang yang lebih dewasa bersolat maghrib aku bermain-main di belakang berseorangan. Aku mengintai ke luar melalui satu lubang sebesar ibu jari di dinding yang diperbuat daripada papan. Ada sebiji mata yang turut memandangku melalui lubang dinding itu. Pendek kata, mata bertemu mata. Mata itu akan muncul setiap kali aku memandang melalui lubang itu. Mujur aku tidak takut kerana aku berpendapat ini mesti kerja kawan-kawan sepermainan yang hendak bermain intai-intai.

Setelah selesai ayah bersembahyang, aku menceritakan hal tersebut. Tak ada apa pun, kata ayah sambil mengintai di sebalik lubang dinding itu. "Kawan" hang tu tengok hang pasai dia marah hang tak sembahyang! Ayah menambah. Sejak itu aku tak mahu ikut ayah ke surau itu lagi. Aku hanya ke situ selepas bangunan asal itu dirobohkan dan bangunan surau baru siap dibina bertahun-tahun selepas peristiwa itu berlaku.

Apabila bilal yang bertugas melaungkan azan, aku kembali ke zaman ini semula.

5 comments:

  1. masa berkhatan kat surau inilah saya disunatkan...

    ReplyDelete
  2. salam cikgu,
    orang rawa juga? salam ukhuwah

    ReplyDelete
  3. El Mariachi@ Mat: Dulu selalu juga majlis berkhatan beramai-ramai dianjurkan di surau Kg Cegar. Tetapi kebelakangan ini, tak kedengaran lagi, mungkin orang kampung sudah mampu buat sendiri-sendiri.Berkorek (kerat) ramai-ramai, tok mudin lotieh.

    Hazlin: Salam ukhuwah cikgu. Saya orang rawa tapi tak tulen. Ayah saya org Kedah, omak org rawa. Tapi saya dibesarkan dalam kelompok orang rawa.

    ReplyDelete
  4. ingat tak simpulan bahasa rawo pasal telur melekat kat piring tu? apa yer...

    ReplyDelete
  5. Sori Mat, aku tak tau pulak hal tu tapi kat mana tolor tu melokek aku tahu!!!! ha..ha.. haa..

    ReplyDelete