Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, April 13, 2010

Kenduri Kahwin Dulu Dan Sekarang...

Siang tadi seorang jiran sekampung mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya. Dalam keriuhan suasana itu sempat juga aku membandingkan suasana majlis perkahwinan generasi sekarang berbanding suasana majlis perkahwinan generasi-generasi terdahulu, terutama di tahun-tahun 1960-an hingga hujung tahun-tahun 1970-an iaitu zaman ketika aku melewati zaman kanak-kanak dan remaja.

Di zaman aku masih kanak-kanak, khemah seperti yang terdapat pada hari ini belum ada.Yang ada hanya bangsal iaitu struktur berbumbung yang dibuat daripada buluh. Tiga empat hari sebelum majlis perkahwinan itu diadakan, penduduk kampung secara bergotong-royong akan mendirikan bangsal. Buluh amat mudah diperoleh di kampung-kampung. Biasanya kanvas lori pula digunakan sebagai atapnya. Ada juga struktur bangsal yang berbentuk pisang sesikat. Biasanya tiga keping papan disusun melebar separas pinggang untuk dijadikan meja. Tempat duduknya juga dibuat daripada papan. Tetamu wanita mengalami sedikit kesukaran untuk melangkahi papan yang panjang sebelum duduk. Jika tiada papan, para pemuda terpaksalah beramai-ramai mengambil set kerusi dan meja makan dari setiap rumah di kampung. Tidak ada istilah tidak boleh, tak larat dan sebagainya. Semuanya dilakukan dengan bergotong-royong.

Setelah bangsal siap didirikan, tugas seterusnya ialah melilitkan kertas bunga berwarna-warni bersaiz dua jari ke struktur buluh yang menjadi tiang bangsal itu. Selain untuk hiasan, ianya berfungsi untuk mengelakkan tetamu daripada terkena miang buluh berkenaan. Biasanya apabila majlis selesai, kertas tersebut menjadi rebutan kanak-kanak, ditanggalkan, diikatkan anak batu di hujungnya lalu dibaling ke udara, menghasilkan satu gerakan yang menarik, seperti ular melayang.

Sehari sebelum majlis berlangsung, kaum ibu akan datang beramai-ramai mericis bawang, lada, daging, ayam, dan sebagainya untuk dimasak. Cukup meriah, penuh dengan semangat kerjasama. Mana-mana yang latah sentiasa jadi mangsa dan bahan ketawa. Bagi anak bujang pada masa inilah mata mencuri-curi pandang kok-kok ada gadis manis yang menyelit.

Pada sebelah malamnya, lauk, gulai, rendang tok dan lain-lain akan dimasak. Begitu juga merebus telur. Biasanya nasi minyak atau nasi putih akan ditanak di sebelah pagi keesokannya. Anak-anak muda akan berjaga sampai ke pagi. Ada juga yang nakal memasukkan air akar pinang dara ke dalam air panas yang digunakan untuk membuat kopi atau teh. Air akar pinang dara dikatakan menjadi bahan penggalak, mata tak mengantuk dan sentiasa ketawa gembira. (Akar pinang dara yang digunakan ialah akar berwarna merah yang terdapat pada pokok pinang yang belum pernah berbuah). Dengan adanya anak muda yang berjaga sampai pagi, tuan rumah tidak risau akan keselamatan saudara mara yang tiba dari jauh disamping barang-barang seperti pinggan mangkuk, dan lain-lain terjaga.

Pada hari berlangsungnya majlis perkahwinan itu, anak muda tanpa mengira penat lelah akan membantu mengangkat hidangan, dan membersihkan pinggan mangkuk. Tidak ada upah, hanya sekeping tuala muka nipis dan rokok. Bagi tuan rumah yang berada, majlis diserikan dengan menjemput kugiran. Ada permintaan lagu untuk ditujukan kepada sesiapa yang diingini. Kadang-kadang tuan rumah pun turut menyumbangkan lagu. Yang lebih berada lagi, sebelah malamnya diadakan pula joget lambak.

Kini, di abad ke-21 ini, kebanyakan suasana majlis perkahwinan yang dipaparkan di atas sudah tidak lagi berlaku. Sekarang sudah ada khidmat pihak yang menyewakan khemah berserta kerusi meja dan set pelamin. Untuk jamuan makan, pilih saja caterer yang diingini. Untuk hiburan pilih saja dj-dj yang berbakat di serata kampung. Paling tidak letakkan sahaja set karaoke di satu sudut, nanti akan ada yang berbesar hati menyumbangkan suara yang kadang-kadang memang sumbang. Hidangan pula secara buffet. Nampaknya cara zaman ini lebih mudah, namun ia sedikit sebanyak melonggarkan ikatan masyarakat sekampung. Oh ya.. semakin ramai tuan rumah yang mengetepikan budaya memberi bunga telur, sebaliknya digantikan dengan beg kecil... di dalamnya gula-gula dan sehelai sapu tangan kecil.

2 comments:

  1. Ass-salam cikgu Nazri
    kerja kahwin kini banyak pro dan kontranya...
    Inikah harga yang perlu kita bayar untuk perkara yang bernama kemajuan ...

    ReplyDelete
  2. suke suasane kenduri kwin dulu2...teringat kngn mjual aiskrim pop buatan sndr sms knduri kwin...mst habis tjuai.

    ReplyDelete