Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, April 23, 2010

Mak ai.. Lebatnye hujan...

Hari ini Jumaat. Selepas solat, aku ke pejabat pos untuk membayar bil-bil untuk bulan ini. Habis juga lima jari.. Sudah kita inginkan keselesaan, kemudahan, keseronokan dan sebagainya, maka semua itu perlu dibayar. Setakat ini hanya udara untuk bernafas sahaja yang percuma, manakala hampir semua yang lainnya perlu dibayar.

Nasib aku hari ini memang baik, hanya aku seorang sahaja pelanggan yang berurusan, tak perlu mengambil nombor giliran pun, unjuk sahaja bil-bil yang perlu dibayar, tak sampai lima minit, selesai semua urusan.

Belum sempat melangkah keluar untuk ke kereta, hujan turun mencurah-curah, cukup lebat. Maka terkurunglah aku di pejabat pos itu, sambil berdiri di pintu cermin memandang keluar. Sesekali aku menoleh ke arah gadis-gadis kerani yang duduk tercatuk di tempat masing-masing.
"Pakcik nak payung? Boleh gunakan payung saya", penuh sopan seorang daripada kerani itu bertanya. "Tak apalah, pakcik tunggu sekejap lagi, terima kasih".

Sambil berdiri,melalui pintu kaca itu terlihat aku seekor biawak kecil muncul dari parit di hadapan pejabat pos itu. Longkang itu dipenuhi air, mungkin biawak itu tidak dapat bertahan dengan aliran air yang deras.

Kemudian mataku terpaku ke arah sebuah deretan bangunan rumah kedai tiga tingkat yang baharu sahaja dibuka. Ada restoran yang cantik, ada pasar raya, ada kedai telefon, dan kedai aksesori kereta. Tetapi semuanya bukan milik bangsa kita. Ketika aku masih kanak-kanak, tapak itu merupakan kawasan longgokan tong-tong najis. Ketika itu, setiap tandas di pekan, terdapat tong di bawahnya. Tong itu bersama isinya akan diangkut oleh pekerja majlis daerah dan digantikan dengan dengan tong lain yang kosong. Semua kerja itu dilakukan pada waktu jauh malam atau dinihari. Tapi semua itu sudah tidak ada lagi, semuanya berubah mengikut kemajuan dan perkembangan semasa.

Apabila hujan agak reda, aku mengambil kesempatan meninggalkan pejabat pos dengan senyum sendiri. Mana tidaknya, dalam begitu banyak peristiwa lama yang indah untuk dikenang, bagaimana aku boleh memilih untuk mengenang tentang tong t**k. Ceh!!

Sebaik sampai di simpang setesen bas, hujan lebat kembali. Air longkang mula menyenak ke jalan raya seolah-olah banjir kilat layaknya. Apabila manusia hanya mengambil jalan yang mudah , segala sampah sarap dibuang ke longkang sahaja. Aku membelok ke kanan untuk megambil jalan pintas ke jalan besar dan seterusnya meninggalkan pekan untuk pulang. Hujan tidak juga berhenti.

Di rumah, aku hanya menyedari bahawa hujan sudah berhenti apabila aku terjaga untuk menunaikan fardu asar lebih kurang pukul 5.45 petang.

5 comments:

  1. ...betul betul hujan Rahmat...beri kesempatan Cikgu Hj.Nazeri...reminisce older memories.
    Good day.

    ReplyDelete
  2. msti best kn ckgu, zaman dulu...teringin nk rs life dulu tp mmg x kn dpt..zaman dh jauh berubah...

    ReplyDelete
  3. Pn Hezeleyed: dgn mengenang kehidupan yg dilalui dahulu, terasa betapa amat bertuahnya badan menempuh kehidupan pada hari ini. Insaf betapa besarnya pengorbanan ibu bapa membesarkan kita dgn serba kepayahan. Dan syukur, kita menjadi "manusia".

    Sdri Terindah Dariku: Bersyukurlah dgn apa yang dikurniakan oleh Ilahi dalam menempuh kehidupan hari ini.

    ReplyDelete
  4. tak sangka ada orang yg akan mendokumenkan sejarah tanah sekangkang kera tu....saya antara orang luar yg bertuah kerana masih dpt melihat sakibaki bangunan tu, masa mula berhijrah ke sini.
    rajin rajin la bercerita lagi....

    ReplyDelete