Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, April 24, 2012

Menjenguk Seketika

Berdebu dan berkulat. Jika blog ini umpama lantai tempat berpijak, demikianlah keadaannya kini. Perasaan malas sering menguasai diri, meskipun banyak yang hendak dituliskan. Namun aku agak terkesima jua kerana apabila aku membuka sesekali blog ini dan melihat stats pembaca hariannya sentiasa ada. Aku tak percaya dalam masa dua bulan ini hampir 500 kali blog aku disinggahi pembaca. Bagi itu sudah cukup banyak. Terima kasih kuucapkan kepada pihak yang membaca dan yang meminta  aku meng"update" blog picisan ini..

I  KAWAN TERIMA MENANTU

11 Mac 2012, aku ke Melaka bersama isteri dan dua orang anak. Tujuannya ke Serkam Darat kerana kawan semaktab Isa dan Naimah (suami isteri)  menerima menantu pada hari itu. Sebelum pergi aku dan beberapa orang kawan semaktab yang lain berpakat nak buat reunion kecil-kecilan di rumah Isa. Selesai di rumah Isa kami berpakat ke rumah Sdr Yusof Sipan di Muar, juga semaktab. Dengan kehadiranku suami isteri anak beranak, Halim dari Pulau Pinang sekeluarga, Shahidin dari Melaka, Salleh Harun sekeluarga juga dari Melaka, Muhammad Osman sekeluarga dari Batu Gajah di rumah Yusop, rasa-rasanya hampir runtuh bumbung rumah Yusop dek gelak ketawa kami bercerita kisah-kisah lama. Sayang sekali pertemuan itu tak berlangsung lama kerana masing-masing perlu pulang, esoknya hari persekolahan.

II  STPM BAHARU
Dalam kalangan guru-guru yang mengajar Tingkatan 6, kisah perbicaraan mereka kini berkisar kepada sukatan pelajaran dan pentaksiran STPM Baharu yang akan dilaksanakan apabila Tingkatan 6 Bawah melaporkan diri mulai 7 Mei 2012 nanti. (Sebenarnya panggilan Enam Bawah pun boleh dikira sebagai tidak sesuai lagi dengan terlaksananya STPM baharu ini).

Entah apa pertimbangan Majlis Peperiksaan Malaysia melantikku sebagai Jurulatih Utama (JU) STPM Baharu bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (dulunya Kesusasteraan Melayu), aku tak tahu. Dan baru-baru ini aku menyampaikan apa yang aku tahu setakat yang terdaya kepada guru-guru KMK (Kesusasteraan Melayu Komunikatif) seluruh Perak di Hotel Heritage, Ipoh. Hmmm; bunyinya begitu gah - seluruh Perak Hakikatnya hanya beberapa buah sekolah sahaja yang menawarkan mata pelajaran ini di negeri Perak ini. Turut disampaikan ialah taklimat untuk mata pelajaran B. Melayu dan Sejarah yang melibatkan JU yang lain dan kumpulan guru yang lain.  Hujung minggu ini beberapa kumpulan guru lagi akan terlibat dalam taklimat bagi mata pelajaran yang lain pula.

III  JUMPA KAWAN
Bercakap tentang STPM Baharu, pastinya para JU ditaklimatkan terlebih dahulu. Maka pada pertengahan April, ketika guru-guru lain bercuti pertengahan penggal, aku menghadiri taklimat STPM Baharu di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur. Bukan apa isi taklimat itu yang hendak aku kemukakan di sini tetapi, untuk menceritakan betapa bahagianya aku bertemu seorang sahabat lama yang sama sekelas dan sekursus ketika menjalani latihan guru di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur 28 tahun lalu. Saudara Nordin Ismail yang kutemui kini sudah terang rambutnya, namun ketawa riangnya tak pernah pudar, masih seperti dahulu. Sayang gambar yang kutangkap, tak menjadi pulak... mungkin terlalu terang dek cahaya kepalanya.. Beliau kini bertugas di Jabatan Pelajaran Perlis.

Selain itu kutemui juga rakan sekelas ketika berada di Tingkatan Enam 1979-1980 di SMK Buyung Adil, Tapah, iaitu Puan Rosnah Hj Salleh. Beliau kini guru cemerlang DG52 di Pahang. Petang itu kami minum cendol sambil bercerita tentang kawan-kawan ketika sekelas. Turut serta ketika itu isteri kepada seorang kawan sekelas ketika di Tingkatan Enam tersebut.

Pada 20 April 2012 lalu, sedang aku berehat di bilik Hotel Heritage, lebih kurang pukul 10.30 malam telefonku berdering. Seseorang ingin bertemu denganku di lobi. Siapa? Turun sahajalah, katanya.
Zainuddin Zakariar (pegawai perubatan Pasukan Bolasepak Perak) tersenyum sahaja memandangku ketika aku menuju ke arahnya di lobi. Lama sungguh tak bertemu. Isterinya telah kukenali semasa taklimat di Hotel Pearl International sebelum ini. Selain Din (panggilan mesra), ada seorang perempuan lagi di atas sofa berhampiran. Jika Din tak memberitahu siapa, aku memang tak cam.. Bila nama Zaidah di sebut... baru aku teringat, juga seorang rakan sekelas yang kini mengajar di Ipoh. Selepas 30 tahun tak bertemu banyak yang berubah, banyak yang hendak dicerita..






5 comments:

  1. hemmmm...saya pun jurusan Sastera jugak cik Aie...sedih orang tak hargai Sastera padahal kat luar negeri Omputeh sana Sastera adalah gaya hidup orang orang elit atasan dan first class...

    kat sini ada jugak yang memartabatkan sastera contohnya kolej ASWARA...harap cik Aie fikirkan sesuatu untuk generasi sekarang yang takde soul dan takde feel...macam lombu cucuk hidung je...

    ReplyDelete
  2. Yang menganggap sastera tiada nilai komersial ialah Melayu sendiri. Bila Melayu hilang jati diri, mula menyalahkan org itu org ini. Kemudian diperkenalkan Komponen Sastera dalam Bahasa .. mengapa? baru mereka sedar peranan sastera dlm membentuk pemikiran masyarakat..

    ReplyDelete
  3. Salam...

    Terima kasih atas bahan sastera tempoh hari,moga disebar luaskan lagi bahan-bahan yg lain. He...he...terima kasih...

    ReplyDelete
  4. sastera mengajarku mengenali sejarah bangsa..kiasan dalam cerita yang disampaikan secara teliti..meniti sejarah..

    ReplyDelete
  5. sastera mengajarku mengenali sejarah bangsa..kiasan dalam cerita yang disampaikan secara teliti..meniti sejarah..

    ReplyDelete