Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, April 8, 2009

One, Two, Choose.. (tiada kaitan dengan mana-mana PRK!!!)

Lewat petang 7.4.2009 aku menjemput Ani dari sekolah kerana keretanya dibawa oleh Qayyum ke Ipoh. Ani meminta aku menghala ke sebuah kedai yang menjalankan perkhidmatan fotostat. Aku meletakkan kereta di hadapan deretan kedai bersetentangan kedai fotostat tersebut. Sementara Ani pergi ke kedai itu aku asyik melihat tiga orang kanak-kanak Cina yang berusia lebih kurang 9 atau 10 tahun yang sedang bermain one-two-choose. Setiap kali perkataan choose disebut, jari mereka akan membuat bentuk tertentu. Jika telapak tangan terbuka menghala ke langit membawa maksud air, jika terbuka menghala ke bawah membawa maksud matahari, jika digenggam bermaksud batu. Aku tak pasti apa maksud dua lagi bentuk yang mereka buat.Pada anggapanku mungkin lambang awan dan lambang angin.

Lambang matahari dapat menewaskan air, matahari kalah kepada awan (?), awan kalah kepada angin(?), batu pula kalah kepada air. Aku tidak tahu peraturan permainan itu sepenuhnya, terutama untuk menentukan pemenangnya. Yang pasti, jika kalah terpaksa menahan jari untuk dijentik oleh pihak yang menang. Seronok betul mereka bermain dan aku juga terhibur. Saya boleh joint ka? Sengaja aku mengusik. Bolehhh!!! jerit mereka serentak sambil ketawa. Mungkin di dalam hati mereka mengatakan, orang tua ni buang tebiat agaknya.. dah tua pun nak berrmain dengan budak-budak.

Semasa kecil dulu pun aku dan rakan-rakan sebaya memainkan permainan yang hampir sama. One, two, choose (kami dulu menyebutnya sebagai one-two-som - mengapa som tak siapa di antara kami yang tahu?) hanya melibatkan dua orang pemain. Jika bertiga kami main lai-lai-li-tamplum. Lai-lai-li-tamplum hanya melibatkan telapak tangan dihalakan ke atas atau ke bawah. Jika seorang pemain menghalakan telapak tangannya ke atas, manakala dua yang lain menghalakan tapak tangan ke bawah bermakna yang menghalakan telapak tangan ke atas dikira menang. Begitu juga sebaliknya. Permainan-permainan itu dijalankan hanya sebagai cara untuk menentukan siapakah di antara kami yang akan memulakan giliran sesuatu permainan lain seperti gasing (siapa yang pangkah dahulu), polis sentri (kumpulan mana yang lari dahulu) dan sebagainya.

Selain one-two-choose dan lai-lai-li-tamplum, kami juga bermain pantun, tik-tik lang patah paku, angin nak hilang mencari aku. Permainan ini dimainkan dengan melukis lapan garisan seoalah-olah garisan arah mata angin di tanah. Setiap pemain akan duduk berhadapan garisan yang mereka pilih. Ketua akan membaca pantun tersebut, sambil menyentuh garisan itu satu demi satu secara rawak atau mengikut pusingan jam, setiap satu suku kata, satu sentuhan. Pemenang akan ditentukan berdasarkan di garisan mana suku kata terakhir ('ku') dibunyikan. Ketua tidak akan memulakan permainan di garisan yang sama pada pusingan seterusnya.

(Kini zaman dan manusia sudah terlalu banyak berubah. Anak-anakku tidak bermain apa yang aku mainkan ketika aku masih dipanggil budak-budak. Jika aku bermain perang-perang di kebun-kebun getah atau di belukar-belukar, bermain bola di mana saja kawasan lapang, bermain pedang ala-Zorro, bertempur silat di gelangang-gelanggang, dan bermain perang tanah liat di tebing-tebing sungai, anak-anakku hanya bermain perang dan bermain bola menggunakan jari - sekadar permainan komputer. Secara tidak langsung menjadikan generasi hari ini kebanyakannya lembik!)

4 comments:

  1. masa kita budak2 dulu permainan banyak melibatkan fizikal dan yang dibuat sendiri, iye la mak bapa kita mana mampu nak beli permainan kalau ada duit pun, permainan mana ada sangat untuk dibeli di kedai2... tingat masa kecil dulu main ting ting, konda kondi, guli, congkak gali lubang kat tanah je....

    ReplyDelete
  2. Main congkak kat tanah, celah kuku jadi hitam berdaki. Basuh tangan lebih kurang, suap nasi campur kicap campur ikan bilis (dulu bilis sgt murah). Habis makan celah kuku bersih semula. Mana itu daki-daki sudah pigi? He..he.. he..

    ReplyDelete
  3. haaa haaa.. this entry mengimbau kembali zaman kanak2 ku. Nostalgia.....

    ReplyDelete
  4. (Kalau Kyazz membaca posting ini untuk kali kedua): Kat Scotland tu anak org putih tu main tak one-two-choose atau lai-lai-li tamplum, atau main tik-tik lang? Ha..ha..haa.. Soalan bodoh daripada seorang yang bergelar guru!

    ReplyDelete