Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, May 10, 2009

Doa Buat Emak

Sudah dua minggu aku tidak mengunjungi blog aku sendiri. Terlalu banyak yang perlu diuruskan dan diselesaikan. Bila berlaku pertembungan antara kepentingan diri dengan kepentingan keluarga dan kepentingan tugas, keluarga dan tugas perlu diutamakan melebihi kepentingan diri
Emak semakin uzur sejak ayah meninggal setahun lalu dan kesihatan emak pula sejak seminggu dua ini amat tidak memuaskan. Emak perlukan penjagaan yang lebih daripada kami, anak-anaknya. Emak tidak boleh dibiarkan berseorangan. Emak dibawa ke rumah adik perempuanku di Besout kerana sebagai suri rumah sepenuh masa, hanya dia diharapkan dapat menjaga emak dengan sempurna.
Empat hari lepas semua adik beradik saudara mara telah kami hubungi kerana keadaan emak amat tenat. Emak diajar mengucap. Surah Yasin dibaca dengan doa jika Allah hendak mengambil emak, ambil dengan penuh kerahmatan daripada-Nya, dan jika belum hendak dipanggil pulang, doa dipohonkan agar emak dapat disembuhkan semula. Alhamdulillah, selepas beberapa ketika keadaan emak bertambah stabil.
Pagi tadi kakak dan adik bongsuku berserta suami dan anak masing-masing telah kembali semula ke Johor. Aku dan abangku kini kembali semula ke Bidor, ke rumah masing-masing. Sebelum pulang tadi aku lihat emak semakin segar walaupun belum dapat bergerak sendiri. Kini kami benar-benar meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada adikku yang tinggal di Besout bersama suaminya berhati mulia itu untuk menjaga emak.
Aku tidakpun mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada emak, kerana bagiku setiap hari yang berlalu dan setiap hari yang terjelma adalah hari ibu. Dan jikapun aku mengucapkannya, emak tidak akan faham untuk apa perkataan itu diucapkan.

3 comments:

  1. Sedih hati mengenangkan ibumu itu. Bersabarlah dan bertenanglah menghadapi keadaan ini. Banyakkanlah berdoa, memohon kepada Allah semoga memberi yang terbaik buat ibumu. Ambillah peluang menghampirinya dan memeluknya sepuas hatimu selagi dia masih ada....genggamlah tangannya, picit-picitlah kakinya dan bisikkan ditelinganya akan kasihmu kepadanya.Tak perlu menunggu reaksi atau jawapannya kerana dia tahu.....

    ReplyDelete
  2. bersabar ye hj...

    ReplyDelete
  3. hj nazri
    semoga ibu cepat semboh
    selamat hari guru

    ReplyDelete