Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, November 28, 2011

Durian Seberang Dah Membuang Buruk ..

"Durian seberang dah "membuang buruk". Itu pesan abangku petang semalam sambil meletakkan 3 biji durian di depan pagar rumahku petang semalam. "Jika masa nanti saya akan menjenguk-jenguk," balasku.

Pagi tadi aku ke pasar menemani isteri. "Jom kita tengok durian," aku mengajak isteri, dan dia tak menolak. Sebenarnya kebun durian 2 1/2 ekar peninggalan ayah terletak hanya lebih kurang 400 meter dari rumah ayah (arwah), namun terpaksa mengharungi sungai kerana kebun itu berada di seberang. Itu yang malas nak menjenguknya walau di musim buah-buahan. Ada alternatif lain; melalui pekan Bidor, menuju ke pasar dan menyusuri kawasan perumahan kaum Cina, barulah sampai ke kebun durian itu.

Sejak musim durian 2009 yang lalu, baru kali ini aku menjenguk kembali. Rimbunan tepus dan  pokok-pokok menjalar serta memanjat menutupi bumi. Dan aku cukup takut akan sesuatu yang selalu bersembunyi atau berada di balik rimbunan itu, iaitu kawanan kerbau yang bertanduk tajam. Terlalu banyak denai yang bersimpur siur bekas laluan kerbau itu. Bau haring kencingnya sahaja aku tahu dia ada di sekitar kebun itu. Mujur aku dapati kawanan itu sudah berada di seberang sana sungai. Dulu ayah terpaksa masuk hospital selama lima hari setelah ditanduk kumpulan kerbau yang sama. Kerbau milik seorang Sikh itu sengaja dibiarkan berkeliaran di sepanjang tebing sungai itu.

Berbalik ke kebun itu.. aku dapati banyak buah durian yang sedang membuang buruk di pancung-pancung. Maklumlah kebun terbiar, ramailah yang menjenguk. Wah.. memang agak banyak buahnya kali ini. Semua pokok berbuah. Cempedak pun agak banyak juga. Sayang beberapa pokok rambutan gading mati. Daunnya berkulat.

Semasa hayatnya ayah akan memastikan kawasan di sekeliling pokok durian, cempedak dan rambutan sentiasa
bersih. Tetapi bila dia tak ada lagi, anak-anaknya menjenguk hanya apabila pokok-pokok itu berbuah. Dan tadi aku hanya berupaya membawa balik sebiji sahaja buah durian yang agak baik luarannya. Maklumlah masih peringkat membuang buruk..

* Membuang buruk merupakan istilah yang digunakan bagi menggambarkan peringkat awal buah  durian gugur. Biasanya pada peringkat ini buah yang gugur tidak berada dalam keadaan baik, sama ada busuk, mengkal, keras, lembik dan sebagainya.

4 comments:

  1. kat mana kobun tu cik Aie..dokek Kem Cina ke?

    ReplyDelete
  2. Salam Mat.. kau jongok-jongok juo blok buruk iko yo.. Dokek kem Cino kalau ikut market.. kalau ikut kampung, soborang sungai .. buayo tu taraklah tapi maleh berbasah-basah
    ..

    ReplyDelete
  3. tau cik Aie mesti update blog time cuti sekolah ni ...tu nyinggah ni...

    ReplyDelete
  4. T/kasih Mat..cuba aktik semula sejak Oktober 2011.

    ReplyDelete