Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, August 13, 2013

Ilmu Mengambil Madu Lebah

Madu lebah banyak khasiatnya. Antara madu lebah yang dipelihara dengan madu lebah liar, madu lebah liar lebih diminati dan mempnyai harga yang lebih tinggi. Kita tak dapat pastikan madu yang dijual itu 100 peratus madu asli. Ramai mendakwa madu yang dijual adalah madu lebah tualang yang asli. Tak perlu aku mendabik dada, tapi aku tahu benar mana yang asli mana yang bukan berdasar rasa dan bau; kerana ayahku sudah bergelumang dengan kerja mencari madu lebah ini sejak zaman mudanya.

Pernah aku mengikut ayah mengambil madu lebah dari sarang lebah di pokok-pokok di pinggir kampung, tetapi aku terpaksa membawa kelambu. Ketika ayah mengambil madu lebah, aku berada dalam kelambu, supaya terselamat daripada serangan lebah yang pasti akan mengamuk jika sarangnya diusik.

Biasanya ayah akan membuat jamung daripada ranting-ranting dan daun-daun kering untuk mengasap sarang lebah, sebelum madunya diambil. Kadang-kadang jamung itu terpadam, dan ini akan membahayakan ayah. Akhirnya ayah menggunakan colok-colok kecil yang digunakan oleh orang Cina ketika bersembahyang sebagai perasap, lebih meyakinkan kerana colok apabila terbakar, sukar terpadam dan mengeluar lebih banyak asap. Ayah sangat marah jika ada orang yang mengambil madu lebah dengan kaedah membakar, kerana cara itu akan membunuh seluruh generasi lebah itu.

Memegang perasap dan timba untuk mengambil madu sambil memanjat agak menyukarkan juga, kerana mudah terlepas, atau kita juga mungkin terjatuh dari pokok yang dipanjat itu. Akhirnya ayah mendapat idea yang lebih praktikal. Pakai pakaian tebal-tebal, pakai but getah paras lutut, pakai sarung tangan kulit, pakai teropong yang digunakan untuk menyelam, pakai serkup muka; kemuadian panjat pokok, tak perlu bawa perasap, hanya bawa timba sahaja untuk mengisi madu. Pedulikan lebah yang mengamuk, sengatannya tak akan sampai ke kulit ayah.


Sampai di rumah, lebah yang mengekori pun dah tak mengikut lagi. Sarang berisi madu akan ditapis dua tiga kali dan dimasukkan ke dalam botol. Hampas sarang lebah itu akan dimasak untuk dijadikan lilin, dikatakan amat mujarab untuk penyakit resdung. Biasanya ayah menjual antara RM25-RM40 sebotol mengikut warna madu itu. Jika warnanya lebih pekat, harganya lebih tinggi. Setakat yang aku ketahui tak ada yang meminta harga itu dikurangkan, kerana memang 100 peratus asli. Lilin lebah juga mempunya permintaan yang tinggi. Sebesar tiga jari pun sudah boleh mencapai RM10-15.



Ayah tak akan mengambil madu lebah jika bulan Islam melebihi 15 haribulan, kata ayah, madu akan semakin berkurangan. Jika 10 haribulan ke 15 haribulan itu masa yang sangat sesuai. Sayang sekali aku tak mewarisi kebolehan ayah dalam mengambil madu lebah. Setahu aku ayah tak ada apa-apa ilmu luar biasa selain bergantung kepada Allah semata-mata; mulakan dengan bismillah dan selawat atas nabi, itu sahaja. Ayah banyak kali bengkak-bengkil disengat lebah, dan pernah pula ditanduk kerbau ketika mencari sarang lebah. Pernah sekali ayah terjatuh dari atas sebatang pokok di tepi Sungai Bidor ketika mengambil madu lebah waktu tengah hari. Kata ayah ketika dia menyentuh sarang lebah itu, dia terasa ada satu tolakan yang kuat dari arah belakang. Ayah jatuh dan pengsan, mujur ditemui oleh seorang jiran yang kebetulan pulang memancing.

3 comments:

  1. kebolehan orang tua kita tak dapek diwarisi...sangatlah ruginyer...

    ReplyDelete
  2. Salam. Boleh saya dapatkan nombor telefon encik? Saya tengah buat research.

    ReplyDelete