Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, August 11, 2013

Masih Kuingat II

4 Syawal 1434 / 11 Ogos 2013: Bangun pagi ini hari berangin, mendung dan sedikit dingin. Isteriku ke pasar, mencari apa-apa yang patut. Anak-anakku, biasalah, selepas sahaja solat subuh, dum.. membuta semula (nak marah pun tak boleh, aku dulu pun macam itu..).

Arwah ayah dulu, bangun pagi-pagi, selepas solat, dia akan mencapai apa yang patut, cangkul, dia pun menyangkul, kalau parang, dia menebas.. ada sahaja dibuatnya. Itu semasa dia sudah berhenti kerja. Semasa masih bekerja, ayah akan mengayuh basikal besar jenama Raleigh (beli drp Benggali jual roti) sejauh 7-8 batu ke Jeram Mengkuang, Bidor. Di sana ayah bekerja sebagai buruh kapal korek Syarikat Bidor Malaya Tin atau BMT (yang kini sudah dibubarkan). Ada tujuh kapal kesemuanya, dan ayah bekerja di kapal nombor 4. Ayah pernah terjatuh dari tingkat dua kapal korek itu ketika membersihkan "bucket" yang terlerai daripada rantainya. Setiap kali "bucket" yang mengaut tanah dari perut bumi ke permukaan itu terlerai dari tempatnya, setiap kali itu jugalah ayah akan lambat pulang, untuk memasangnya semula mengambil masa yang lama. Dan setiap kali itu juga ayah akan membawa lembaran-lembaran kecil sebesar kertas A4 getah berwarna merah setebal 3 atau 4 mm. Getah itulah yag kami potong kecil-kecil buat getah lastik atau getah peregang besi yang menjadi peluru menembak ikan.

(90 peratus serupa dengan jambatan keretapi Sungai Bidor)

(Imej kapal korek yang masih tinggal di Perak)
 Untuk ke tempat kerja, selain melalui jalan utama Bidor-Telok Anson (kini Teluk Intan), ayah akan melalui jalan pintas menyusur Sungai Bidor, tetapi perlu melalui jambatan kereta api yang sempit. Orang kampungku memanggil jambatan itu sebagai gerotak (ge-gho-tak - loghat Perak). Sedikit berisiko kerana kita tak tahu bila keretapi akan tiba kerana di hadapan jambatan itu adalah landasan yang berselekoh. Sesekali aku bersama rakan-rakan akan ke jambatan itu untuk memancing atau menembak ikan. (Dan di bawah jambatan itu juga aku tertembak jari kakiku sendiri. Aku hanya dapat melepaskan besi yang tajam itu dari jari kakiku setelah menghiris dengan pisau cukur separuh daripada jari keempat kaki kananku itu. Tak apa aku harus menjadi hero kepada kawan-kawanku).

(Contoh pistol menembak ikan)
Untuk ke jambatan itu, kita perlulah merentasi kandang kerbau milik Ghulam Haidir, dan kandang lembu milik Raja Muda Singh. Mengapa dia dinamakan Raja Muda tak siapa yang tahu; kerana sebelum ayah membuat rumah di Kampung Padang (kemudian dinamakan Kampung Jalan Sungkai, dan kini di kenali pula sebagai kampung Chegar), "Raja Muda" sudah pun bertakhta di hujung kampung ini memerintah lembu-lembunya.

Keistimewaan Raja Muda ialah amat mesra dengan penduduk kampung dan suka bergurau. Kereta lembu miliknya sentiasa terbuka (memang tak beratap pun), kepada kanak-kanak yang ingin menumpang untuk ke sekolah atau balik dari sekolah; cuma kena tahan bau najis lembu. Raja Muda menjual najis lembu dari kandangnya kepada orang Cina, pekebun-pekebun sayur. Apa sahaja boleh diangkut oleh kereta lembu Raja Muda dengan upah yang sekadarnya. Anehnya lembu-lembu penarik itu amat mengerti "bahasa" yang dituturkan oleh Raja Muda. Antaranya "terk..tekk..terk ,  ho terey ..ho terey ( entah apa maksudnya). Untuk pengetahuan pembaca (kalau ada?), lembu penarik kereta, terpaksa melalui sesuatu yang amat tragis. Buah zakarnya akan dipecahkan, supaya ia tiada keinginan mengawan serta badannya akan menjadi besar dan gemuk (dikasi). Dengan itu, ia akan kuat bekerja.
Kereta lembu (bukan kereta lembu Raja Muda)
Kecuali jambatan keretapi yang masih utuh menongkah zaman; kapal korek BMT, dan kereta lembu Raja Muda bersekali dengan Raja Mudanya. semua sudah tiada lagi. Rangka basikal Raleigh ayah pun dah tak mandang (loghat Perak= tak ada lagi); habis dijual pencuri/pencari besi.Maklumlah rumah dah ditinggalkan kosong agak lama..

Hujan pagi begitu lebat.. dan mataku semakin berat .. ahh.. aku  harus berhenti di sini. Semoga bau najis lembu Raja Muda tidak mencucuk hidungku dalam mimpiku nanti.. Opppppsss teringat pula aku akan NFC?? Apa cerita dan apa sudahnya??


2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. siapa yang tak pernah kena kejar kerbau kat gerotak tu dan naik kereta lembu Raja Muda memang bukan orang Pure Bidor le...ada keturunannya duduk kat Amang-lombong bijih tembak air (sekarang rumah Tuk Penghulu)...

    ReplyDelete