Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, September 29, 2011

Kisah main badminton dulu-dulu

Lepas maghrib tadi kami empat beranak ke rumah seorang kenalan yang mengadakan majlis bacaan Yassin kerana beliau dijadualkan akan berlepas ke Makkah pada 3 Oktober nanti. Selepas Yassin dan doa dibaca, makanlah apa yang ada sekadarnya. Selesai makan, seorang tetamu yang masih muda minta diri untuk pulang, hendak bermain badminton di Dewan Cina katanya.

Lantas kami, veteran-veteran  yang tinggal menceritakan kembali pengalaman bermain badminton dulu-dulu.. dengan raket yang dibuat daripada kayu, raket separuh kayu separuh logam ringan, bulu tangkis buatan sendiri dan gelanggang bergariskan garisan buluh yang di belah. Semua yang muda mengakui tidak pernah melihat raket yang digunakan pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an atau yang lebih awal daripada itu. Seperkara lagi, raket kayu selepas digunakan bahagian kepalanya perlu dipasangkan dengan pengepit untuk mengelakkannya daripada meleding.



Pendek kata setiap kampung ada pasukan masing-masing, malah mungkin dalam satu kampung ada dua tiga pasukannya yang tersendiri. Setiap pasukan ada gelanggang masing-masing. Sering kali diadakan pertandingan persahabatan antara satu team dengan team yang lain, atau satu kampung dengan kampung yang lain. Janganlah dibayangkan gelanggang itu gelanggang yang sempurna. Jika kawasan berpasir, bermainlah di atas pasir, jika tanah, bermainlah di atas tanah..Debu tak jadi masalah, jatuh berdarah perkara biasa. Luka tersadung sembilu buluh yang di belah yang menjadi garisan, tak menjadi soal. Jaring? Bisa saja daripada jaring ikan ayah. Kadang-kadang itulah jaring badminton, dan itulah jaring sepak raga.


Tapi kini semua itu sudah lenyap daripada senario di kampung-kampung pada hari ini. Raket  keluaran masa kini dibuat daripada karbon graphite bermutu tinggi dan harganya pun mahal. Namun jika untuk sekadar main "tepuk-tepuk" bulu ayam di halaman, raket yang berharga antara RM 15 - 40 pun memadailah..


1 comment: