Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, January 3, 2009

AWAN DAN ANGIN

Catatan Sewaktu Kecilku

Aku dilahirkan di rumah opah (nenek) di Kampung Jalan Paku Bidor ( tayar kereta anda dijamin tidak bocor jika datang ke kampung ini) yang berlatarkan kebun getah di belakang dan perkuburan Cina di hadapannya. Rumah emak dan ayah terletak di Kampung Jalan Sungkai (kini Kampung Cegar). Aku lebih suka tinggal dengan opah mungkin kerana manjanya lebih agaknya. Satu-satunya kawasan yang lapang di kampung itu ialah perkuburan Cina itulah.

Dengan ketiadaan bekalan air paip dan sungai pun tidak kedapatan di kampung ini, untuk mandi kami terpaksa ke sebuah kolam air semula jadi yang cetek, terhasil daripada mata air yang keluar dari bawah perdu pohonan buluh. Airnya amat jernih, dingin dan menyegarkan. Kami terpaksa menuruni lembah di tepi perkuburan Cina itu barulah sampai ke kolam itu. Dikelilingi pokok-pokok getah dan belukar, aku jarang mandi di kolam itu bersendirian, dek takut hantu Cina yang tak pernah muncul pun!

Sebagai anak-anak kecil di kampung itu kami bermain congkak biji getah, main perang biji getah, bertanding memanjat pokok getah, pendek kata segala-galanya getah. Sesekali kami mencuri-curi pergi kawasan air terjun Lubuk Degung yang amat mempesonakan pandangan kami... tapi kami hanya mandi di kawasan paling cetek kerana tiada seorang pun antara kami yang pandai berenang (sampai ke saat ini pun).

Satu ketika musim bermain layang-layang pun tiba. Apa lagi berlumba-lumbalah kami membuat layang-layang sendiri. Apa susahnya, buluh ada di mana-mana di Kampung Jalan Paku. (Catatan: jangan harap nak dicari sekarang, semuanya mati sendiri!). Oleh kerana keadaan hidup yang amat sederhana, layang-layang kami kebanyakannya berkertaskan surat khabar. Itupun dengan mengebas suratkhabar cikgu kat sekolah.. Tapi benang? Tak sukar kerana pandai-pandailah mencari dalam mesin jahit usang opah. Selesai masalah nak menyediakan keperluan untuk bermain layang-layang. Tiba-tiba baru sedar ada masalah lain... tempat lapang semuanya dipenuhi pokok-pokok getah yang seolah-olah melambai ke awan. Angin pun tak cukup kuat untuk menaikkan layang-layang.

Tiada pilihan, kawasan perkuburan Cina itulah tempat yang paling sesuai, lapang dan berangin. Ketepikan rasa takut kerana desakan hati untuk menaikkan layang-layang yang buluhnya diraut sendiri, kertas suratkhabar pun dikebas sendiri, gam kanji pun dibuat sendiri (tak pasti sama ada generasi muda sekarang tahu membuat gam kanji?). Layang-layang pun bermain angin, berlatarkan awan yang memutih di langit. Indahnya perasaan ketika itu, walaupun kulit dibakar matahari. Tiba-tiba angin mati, layang-layang turun tersipu-sipu sendiri. Cis! Kalaulah boleh aku nak merantai angin supaya bertiup di kawasan perkuburan Cina itu sentiasa supaya layang-layangku dapat menggapai awan.

No comments:

Post a Comment