Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, October 11, 2011

Pengalaman Haji (2002)

 I Penerbangan Haji
Saban hari, pada ketikanya kini, ada saja kapal terbang yang berlepas membawa bakal haji ke Tanah Suci. Mereka yang menaiki penerbangan awal pastinya akan dibawa ke Madinah dahulu, manakala jemaah yang pergi dengan penerbangan yang lewat akan dibawa terus ke Makkah dahulu. Tidak kiralah mana satu penerbangan yang akan dinaiki, sama ada awal atau lewat pastinya jemaah haji akan dibawa ke kedua-dua tanah suci itu. Apapun kita berdoa agar para tetamu Allah itu mendapat kesejahteraan, kesihatan tubuh badan, ketenangan dan keberkatan daripada Allah swt; dan dipermudahkan segala urusan ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

II Usia dan Cabaran
Jika ditanya tentang usia yang sesuai untuk menunaikan fardu haji, ketika muda atau ketika sudah berusia. Jawapanku mudah, waktu bila pun sesuai cuma cabaran dari segi mental dan fizikalnya mungkin berbeza. Pergi ketika muda lain cabarannya, dan pergi ketika dah tua lain cabarannya. Ketika muda, pastinya kita dihantui masalah penjagaan anak kecil; yang ditinggalkan. Pergi ketika tua pula, kita dihantui oleh masalah kesihatan dan keadaan fizikal yang semakin menyusut. Maklumlah ibadat haji melibatkan pergerakan fizikal yang banyak di samping menghadapi  keadaan yang amat sesak; ditambah pula menghadapi kerenah manusia yang pelbagai ragam.

Satu lagi cabaran yang tidak boleh dikesampingkan ialah masalah hubungan suami isteri. Tidak kira tua atau muda, ramai yang tak dapat mengawal perasaan sehingga menimbulkan perbalahan dan pergaduhan antara pasangan; maklumlah orang lelaki, selepas dua tiga hari, mulalah dirinya serba tak keruan. Inikan pula diasingkan dengan isteri selama berada di Makkah dan di Madinah selama 40 hari. Dikhabarkan ada yang menjatuhkan talak hanya semata-mata si isteri tidak dapat menunaikan kehendak suami kerana keadaan waktu dan tempat yang tidak sesuai. Walaupun ada disediakan "bilik rehat" di hotel-hotel tetapi apabila ada pasangan yang ke bilik itu, tentunya ada mata jemaah yang lain yang memandang semacam.. malu lah..

III Batuk
Jika tidak batuk, tidak "sah" haji. Perbezaan iklim sedikit sebanyak akan menjejaskan kesihatan. Biasanya jemaah akan batuk-batuk dan sebahagiannya akan selesema, maklumlah hawa di sana panas kering dan berdebu. Kita mudah kehilangan kelembapan badan. Kulit akan gatal-gatal dan kering. Sesetengah jemaah akan mendapat penyakit kulit. Dalam keadaan ini krim atau losyen pelembap sangat berguna. Jika bertambah serius perlu mendapatkan rawatan doktor. Anggur di Makkah memang sedap tetapi awas.. mengundang batuk. Limau, oren dan epal dari Mediterranean memang manis dan lazat. Makanlah banyak-banyak untuk menambah kelembapan badan

 IV Roti free, kuah bayar
Roti canai? Jangan bimbang, pasti ada yang menjualnya. Ada sebuah kedai milik peniaga India (pastinya kini sudah tiada lagi akibat pembesaran Masjidil Haram) yang pernah disinggahi, hanya menjual kuah kari kambing dan kari ayam. Enam riyal semangkuk. Rotinya? Ambiklah berapa keping yang anda mahu, tetapi hanya boleh dimakan di dalam kedai itu sahaja, tidak dibenarkan dibawa balik. Sebenarnya sekeping pun sudah memadai untuk kita berdua laki bini.

V Fisabilillah
Kadang-kadang ada kontena berhenti, di belakangnya berderetan jemaah tolak menolak untuk mendapatkan makanan percuma. Tidak seperti jemaah Malaysia yang makanan disediakan di hotel-hotel secara dibungkus atau bufftet; jemaah dari negara lain perlu masak sendiri; Oleh itu jika ada yang mengedarkan makanan percuma tentulah diserbu oleh mereka. Yang mengedarkan makanan akan melaung.. fisabilillah.. fisabilillah. Maksudnya ada yang mensedekahkan makanan.

Ada peristiwa lucu berlaku ketika sedang wukuf di Arafah. Seorang dermawan ingin mensedekahkan buah-buahan kepada jemaah. Buah limau, epal dan oren dilemparkan kepada jemaah yang sedang berehat. Sambut menyambutlah jemaah..  ada juga yang buah yang dilemparkan hinggap di batang hidung . Selain itu ramai juga  yang mendermakan mi segera. Orang asyik membaca al-Quran dan berdoa ketika wukuf, yang kitanya asyik merendam mi segera sebungkus demi sebungkus. Satu lagi kelucuan yang agak menggemparkan terjadi apabila orang suruhan dermawan tersilap mengenal pasti hadiah yang hendak didermakan. Bungkusan berisi pisau cukur dan losyen untuk bercukur dilemparkan kepada jemaah wanita, manakala bungkusan berisi tuala wanita dilemparkan kepada jemaah lelaki.. haru jadinya. Akhirnya berlakulah tukar menukar hadiah.. hmmm yang dah menopause pun terpaksalah bertukar-tukar pisau cukur dengan tuala wanita.. Buatlah apa yang patut makcik...

VI Alamak ai.. Seluar Dalam dan Coli Merah
Di Mina, entah macam mana khemah kami diletakkan bersebelahan khemah jemaah Indonesia. Hanya dipisahkan dengan tabir kanvas sahaja. Jemaah lelaki dan jemaah perempuan negara tetangga itu diletakkan bersekali. Masalah juga tu. Lantaklah mereka. Di Mina, jika hendak mandi kena beratur (macam filem P Ramlee, Seniman Bujang Lapok) maklumlah orang ramai dan masalah air pula. Pada satu ketika, aku bernasib baik, ketika sampai ke bilik air itu, ada orang di dalam, entah siapa tak kiralah. Bermakna selepas ini tibalah giliran kita mandi. Berdirilah mengadap pintu bilik air itu, sambil mengharapkan orang di dalam segera membersihkan diri. Tiba-tiba sesuatu disangkutkan di atas pintu yang bertutup .. seluar dalam.. eh lain macam ni.. Belum habis berdetik sendirian, coli merah pula disangkut.. Ya Allah.. dugaan betul ni.. Apa pasal minah Indon ni mandi kat tempat lelaki ni...?? Selepas beberapa ketika pintu pun dibuka, wanita muda agak cantik keluar dan dia berlalu bersahaja.. Allah.. aku beristighfar.. waduh.. berdetup juga dadaku..

No comments:

Post a Comment