Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, October 26, 2011

Kerantung.. "Alarm" Orang Melayu


Kerantung diiperbuat daripada kayu halban, durian, meranti dan sebagainya yang ditebuk untuk menghasilkan rongga di sepanjang terasnya. Jika teras kayu keras seperti cengal atau kempas digunakan, bunyinya tidak begitu kuat. Sehingga awal tahun 1980-an, kerantung masih digunakan di masjid-masjid dan di surau-surau. Setiap kali masuk waktu sembahyang fardu, kerantung akan diketuk. Ketukan dimulakan dengan laju. Ketukan akhir yang jedanya lebih lambat, mengikut bilangan rakaat sembahyang. Jika subuh dua kali, jika zohor, asar dan isya' empat kali; jika maghrib tentulah tiga kali. Bunyi kerantung dapat di dengar sehingga lima kilometer jauhnya, bergantung kepada saiz teras kayu dan saiz rongganya.

Bunyi kerantung yang kedengaran bukan pada masuknya waktu sembahyang, difahami sebagai pemberitahuan adanya kematian. Cara ketukan untuk mengkhabarkan adanya kematian berbeza dengan ketukan menandakan masuknya waktu sembahyang. Jeda ketukan akhirnya dibuat satu demi satu selang beberapa saat. Aku kurang ingat akan bilangan ketukan akhir yang menandakan yang mati itu lelaki, perempuan atau kanak-kanak.

Di Bidor, kerantung akan diketuk juga dua jam sebelum masuk waktu Jumaat. Mungkin untuk memberitahu yang berkebun, berladang atau penoreh getah untuk bersegera kembali menyiapkan diri untuk ke masjid.

Berikutan perkembangan teknologi semasa, peranan kerantung sudah semakin diperkecilkan sehingga untuk mencari sebuah masjid yang masih menggantung kerantung di serambi pun amat sukar sekali. Bukankah suasana akan menjadi lebih indah jika kerantung diketuk, dan diikuti pula bunyi azan.. Ah.. begitu sentimental sekali!

Catatan: Gambar di atas  dirakamkan di surau INFRA, Bangi.



No comments:

Post a Comment