Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, October 19, 2011

Hang Tuah Mesti Menang


I Hang Tuah Hero Melayu

Sewaktu aku kecil dahulu, kanak-kanak lelaki sewaktu bermain "lawan-lawan" ingin menjadi seperti Hang Tuah. Pihak kerajaan akan mengurniakan pingat Hang Tuah kepada kanak-kanak yang 'berjasa' menyelamatkan orang yang dalam kecemasan seperti lemas, terbakar dan sebagainya. Tinggi sungguh  penghormatan yang diberikan kepada tokoh epik Melayu itu. (Kata sesetengah orang , buku Hikayat Hang Tuah dilarang pengedarannya di Indonesia kerana kandungannya yang memperkecil-kecilkan pemimpin dan pahlawan silam Jawa, wallahhu'alam).

Ketika kecilku juga jika bermain lawan-lawan dengan abangku di rumah, dialah yang akan menjadi Hang Tuah dan akulah Hang Jebat. Hang Jebat mestilah kalah. Pada satu hari aku menewaskan Hang Tuah, Hang Tuah marah lalu menolakku sampai jatuh 7 anak tangga ke tanah. Parut lukanya kekal di bawah mata kananku sampai hari ini.

II  Silat Tunggu Naik Syeikh
Sewaktu tragedi 13 Mei 1969, gelanggang silat tumbuh macam cendawan di kampung-kampung. Ketika itu aku berusia 9 tahun. Dapatku ingat dengan jelas bagaimana sekumpulan anak muda termasuk bapa saudaraku belajar sejenis silat di halaman rumah opah, tapi aku tak ingat silat apa. Penuntutnya dikehendaki beratib bersyahadah tanpa henti sampai "naik syeikh". Apabila syeikh sudah meresap, maka penuntut akan bangun bersilat sendiri tanpa perlu mempelajari apa-apa jurus terlebih dahulu. Hairan juga jika difikirkan ketika musuh menyerang, kita kena duduk beratib dulu tunggu sampai naik syeikh. Jika syeikh yang diseru lambat tiba kerana terpaksa buang air (sakit perut?),  sementara itu musuh pun sampai terlebih dahulu.. hmmm mampus kena kerat!!

Ketika aku belajar dalam tingkatan satu (1974), gelanggang silat (biarlah kunamakan sebagai silat xyz supaya tak ada yang terasa hati jika aku sedikit negatif) dibuka di kampungku. Ramailah anak muda yang belajar silat xyz itu. Selama mereka belajar mereka disyaratkan supaya tidak meninggalkan sembahyang (baguslah), dan tidak dibenarkan makan makanan yang dijual di kedai orang Cina seperti ais kacang dan rojak. Cendol di kedai orang India boleh pula??? Kalau langgar pantang ilmu jadi tawar dan mudah cedera ketika belajar menggunakan senjata seperti parang atau keris.

Pada suatu hari mahaguru silat xyz datang melihat anak buahnya belajar silat. Biasanya yang mengajar adalah orang-orang bawahannya sahaja. Beliau menunjukkan kehandalannya memotong isi pisang menggunakan ilmu kebatinannya. Memadai dengan tenungan tepat ke arah pisang, apabila dikupas isi pisang terpotong tiga. Semua yang hadir mengakui kehebatan mahaguru itu. Setelah aku dewasa baru aku tahu itu satu pembohongan semata-mata. Aku tahu taktiknya itu setelah membaca sebuah buku silap mata.

Ketika aku berumur 16 tahun, aku menyertai kawan-kawanku belajar silat xyz. Guru silat itu mengajar kami tanpa melibatkan apa-apa yang dianggap berunsur kebatinan. Tak perlu tidur di kubur atau di bukit untuk menghadapi dugaan macam filem Pendekar Bujang Lapok. Kami diajar menggunakan tenaga sendiri, bukan tenaga "syeikh". Tetapi aku tidak menamatkan pelajaran silatku, kerana aku rasa aku tak cukup berani ketika menghadapi ujian seperti mencucuk jari dengan jarum sampai jarum itu terbenam sepenuhnya di dalam jari. Kadang-kadang guru terus sahaja menghayun parang tajam berkilat ke arah kaki kita, kalau tak melompat, putus.. Aku pun berhenti.. Aku tahu aku penakut. Tak jadi Hang Tuah pun tak apa.

III Silat Paling Senang

Susah sebenarnya belajar silat ni. Kena ingat langkah dan jurus-jurus yang diajar. Dalam tahun 1979, di kampungku ada orang memperkenalkan silat Nasrul Haq. Silat ni nampaknya senang dan begitu berkesan untuk menewaskan musuh. Ambil "ijazah" daripada guru, baca ayat tertentu, terus boleh melawan orang dari jauh, pakai angin saja. Jika syeikh dah masuk, tolakkan saja tangan ke hadapan macam Ultraman, musuh yang berada berpuluh-puluh meter di hadapan akan jatuh tergolek. Senang saja. Tetapi awas, silat ini tentu sahaja  menggunakan perantaraan jin secara langsung. Akhirnya silat ini diharamkan oleh Jabatan Agama Islam kerana boleh memesongkan akidah dan membawa unsur-unsur syirik kepada Alah swt. Mujur aku tidak pernah mempelajari silat ini.

IV Pencenkan sahaja 'syeikh"
Pada pendapat aku, gelanggang mempelajari ilmu persilatan Melayu perlu digiatkan kembali kerana kelihatannya kini ia semakin lesu. Anak muda Melayu lebih mengenali karate, judo dan shaolin berbanding silat Melayu. Silat Melayu perlukan pendekatan baru dengan membuang semua unsur karut-marut yang mengiringinya seperti pembakaran kemian, "menjamu",  pantang-larang yang tak masuk akal, menyeru syeikh , dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment