Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, October 25, 2011

Apabila Pokok Dah Condong


Ada pun pada hari Ahad 23.10.2011 yang lalu, fakir bersama dua ratus orang yang bekerja macam fakir juga dipanggillah ke suatu tempat. Memandanglah fakir akan surat yang mengarahkan fakir itu untuk fakir tahu siapakah gerangan yang empunya kuasa yang menyeru itu. Setelah dua tiga kali fakir sarung dan pasang kembali cermin mata fakir, tahulah fakir surat itu datangnya dari atas kayangan tempat dewa-dewa bersemayam adanya. Rasa-rasanyanya dapat fakir mengagak apakah yang tersurat dan yang tersirat hingga memerlukan fakir dan teman-teman fakir hadir ke tempat yang ditetapkan itu. Adapun, asalnya nama fakir tidaklah berada dalam senarai yang dipanggil, namun betara ratu tempat fakir bekerja mengarahkan fakir hadir bagi menggantikan seorang sahabat fakir yang sedang menyahut panggilan Ilahi, bukan mati tetapi menunaikan haji.

Setelah berada di tempat yang dimaksudkan, sahlah seperti yang fakir fikirkan itu. Tujuan pertemuan itu  hanyalah untuk menyeru fakir dan sahabat-sahabat fakir membantu menegakkan kembali pokok yang dah condong hampir menyembah bumi. Maka oleh yang empunya kuasa, diceritakan jikalah pokok itu tumbang sujud ke bumi, maka terjadilah huru dan hara, gelodak dan gejala, jelaga melanda, bangsa binasa.. begitulah kami dikhabarkan. Diriwayatkan jugalah akan adanya panau di buntut petualang yang itu, adanya kurap di ketiak petualang yang ini. Dikhabarkan juga musuh yang itu perutnya busung, musuh yang ini kakinya pekung.

Adapun fakir yang hina ini tidaklah mudah fakir menelan saja apa yang dikhabarkan itu; hanya kerana fakir yang hina ini tahu jua akan adanya panau, kurap, pekung dan ketuat yang melata di buntut dan kaki yang empunya kuasa itu.

Ternanti-nanti jugalah fakir yang hina ini, yang empunya kuasa mengkhabarkan akan sebab musabab mengapa pokok yang dulunya kukuh padu itu, kini hampir sujud ke bumi?? Namun tiada jua dikhabarkan. Mungkin mahu dipersalahkan tanah tidak subur atau anai-anai yang  merosakkan akar? Atau menyalahkan hujan turun di tempat lain, sedangkan ketika rendangnya pokok itu hanya burung nuri dan merak kayangan sahaja kenyang di dahannya hingga menyebabkan pipit, ular, semut, merpati, rama-rama dan lain-lain serangga mencari pokok lain yang tegak elok dan lebih hijau daunnya untuk dihuni?

Adapun pada pendapat fakir yang hina ini, pokok yang dah hampir tumbang eloklah saja ditebang dan tanam pokok yang baharu untuk hasil yang lebih lumayan pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment