Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, October 13, 2011

Ahmad Jais..


Satu ketika dulu aku pernah menulis tentang kehairananku terhadap Ahmad Jais. Macam mana beliau boleh masuk ke dalam radio transistor yang kecil sambil mendendangkan lagu di dalamnya. Ceritanya di sini. Namun Ahmad Jais sudah pergi buat selama-lamanya pada 11 Oktober 2011 yang lalu. Beliau meninggal ketika berusia 75 tahun.

Bercakap tentang muzik, aku cuma meninati lagu bukan penyanyi. Walau bagaimanapun tetap ada kekecualiannya. Aku berbohong jika mengatakan aku tidak meminati Ahmad Jais . Selain Ahmad Jais aku turut meminati Rafeah Buang dan M. Nasir. Tiga orang itu sahaja. Hanya M. Nasir sahaja yang masih hidup.

Semasa kecil, aku tinggal dengan opah sebab rumah opah lebih dekat dengan sekolah daripada rumah emak. Bapa saudaraku yang masih bujang peminat setia Ahmad Jais, sering menyanyikan lagu biduan itu di rumah. Sementelahan anak saudara opah yang tinggal di sebelah rumah ada "radiogram", pemutar piring hitam.. tentunya lagu Ahmad Jais dan Rafeah buang yang banyak diputarkan. Selepas demam irama agogo semakin reda,  Ahmad Jais, Rafeah Buang, M. Fadhil, Sanisah Huri, Sharifah Aini dll (sekadar menyebutkan beberapa nama) meneruskan lagu-lagu langgam. Ketika itu Radio Singapura menjadi pilihan utama para pendengar.

Gelisah, Bahtera Merdeka, Kau Pergi Tanpa Relaku, Kucupan Azimat, Di Ambang Sore, Mengharap Sinar Menelan Kabus, Di Ambang Syurga dan puluhan lagu Ahmad Jais masih tetap enak didengar.. evergreen kata orang putih. Lagu duet Ahmad Jais bersama Kartina Dahari, Budi Setahun Segunung Intan, bagiku begitu menarik. Kemudian beliau berduet pula dengan Rafeah Buang, (ketika aku berusia 9 atau 10 tahun). Bagai nak meletup radiogram emak saudara aku di rumah sebelah kerana dipasang kuat-kuat supaya semua orang boleh dengar lagu Ahmad Jais bersama Rafeah Buang. Itulah satu-satunya hiburan yang ada masa itu. Ahmad Jais pernah juga berduet dengan biduan S Effendi dari Indonesia.

Pada penghujung tahun-tahun 1970-an Ahmad Jais beralih mendendangkan lagu-lagu berirama dangdut. Tiada lagu irama dangdut yang dinyanyikan Ahmad Jais yang berada dalam simpananku sebab aku tidak meminati irama itu.

Dengan pemergian Ahmad Jais, kita kehilangan seorang biduan yang sukar dicari ganti. Mungkinkah akan ada "Ahmad Jais" yang baru? Rasa-rasanya payah sekali. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

5 comments:

  1. al fatihah..
    lagu-lagunya penoh nostalgia..

    ReplyDelete
  2. Yo lah kata kauu.. Tekonang-konang kisah dolu-dolu bilo mendonga lagu Ahmed Jais ko...

    ReplyDelete
  3. pengganti Ahmad Jais takder tapi pelapis irama tu ada...HAZIQ namanyer...

    ReplyDelete
  4. Tak sama, Mat sebab tak sezaman.. hmmm.

    ReplyDelete
  5. i dah dgr Haziq AF nyanyi lagu Ahmad Jais. mmg nostalgic & selembut & selunak Ahmad Jais adanya...

    ReplyDelete