Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, October 17, 2011

Permainan masa kecik-kecik

Bermain-main dengan kawan-kawan sewaktu kecil merupakan pengalaman yang sangat indah untuk dikenang apabila usia semakin meningkat melepasi separuh abad. Galah panjang, polis sentri, tarik upih, congkak, seremban, gasing, kad bergambar, main perang, tengteng, main pedang ala zorro, guli, main layang-layang, menangkap ikan laga, menyelam mencari batu, main menyorok, main sorok daun .. dan entah apa lagi jenis permainan.
 
Ketika bermain ketawa gembira namun tak kurang juga ada yang menangis bermasam muka kerana diejek apabila tewas. Itu belum lagi yang berkelahi tetapi esok berbaik kembali. Sebahagian daripada permainan itu tidak melibatkan budak perempuan dan sebahagian lagi jantina tidak menjadi soal. Apabila bermain polis sentri, tak kira.. budak lelaki peluk budak perempuan dan budak perempuan peluk budak lelaki, yang penting bermain bersama-sama.
 
Apabila bermain congkak, kuku menjadi hitam kerana lubang congkak dibuat di atas tanah. Ketika makan nasi, kuku bersih kembali. Tidak hairanlah budak-budak dahulu dalam perut mereka banyak cacing. Apabila musim main pedang tiba, habis anak pokok getah opah yang sebesar jari telunjuk tu dikerat untuk dibuat pedang. Tempurung pula di sarungkan di hulu pedang itu. Apa lagi, hayun sahaja.

Main seremban tidak memerlukan tenaga yang banyak, cuma cari sahaja anak batu yang sesuai, lambung dan tangkap. Longkang-longkang kecil di kampung habis diranduk untuk menangkap ikan laga. Ikan ini senang dicari. Jika nampak buih, kaup dengan tangan, pasti ada ikan laga jantan yang menjaga telur si betina di bawah buih itu.

Ketika musim bermain layang-layang, langit akan dipenuhi pelbagai bentuk layang-layang yang berwarna-warni. Jika kurang wang, buat sahaja layang pakai surat khabar lama. Di Bidor, istilah "kot" (dibaca "kort") digunakan dalam permainan layang-layang; yang bermaksud dua orang pemain layang-layang akan menerbangkan layang-layang mereka berdekatan antara satu sama lain supaya benang layang-layang itu akan bersentuhan dan bergeseran. Ketika itu pemain akan melepaskan benang selaju mungkin supaya geserannya dapat memotong benang lawan. Sesiapa yang tidak mempunyai benang yang cukup panjang, besar kemungkinan benang mereka akan putus. Apabila satu daripada layang-layang itu putus, dikejarlah ramai-ramai, siapa beroleh dialah yang punya. Untuk tujuan "kot" benang layang-layang akan disapu dengan perekat (gam) yang dicampur serbuk kaca. Kaca yang menjadi pilihan ialah kaca lampu kalimantang yang ditumbuk halus. Kami terpaksa mencari tiub lampu kalimantang di tempat buangan sampah di pekan, maklumlah masa itu di kampung kami belum ada bekalan elektrik. Mungkinkah istilah "kot" itu datangnya dari perkataan "cut" ? Entahlah..

Ada satu lagi permainan sampingan yang tak kurang menyeronokkan. Di tiang-tiang surau, ada banyak lubang berdiameter lebih kurang 1cm; ambil lidi jolok ke dalam lubang itu sampai keluar bunyi rengekan panjang sang kumbang yang bersarang di dalamnya. Satu hiburan pula. Namun semua permainan yang disenaraikan di atas sudah semakin lenyap daripada senario di kampung-kampung. Anak-anak kampung kini lebih selesa bermain di hadapan komputer, tak perlu berjemur untuk bermain seperti generasi terdahulu.

2 comments:

  1. salam...bestla kalau terkenang zaman budak2 dulu.....tak da masalah....tapi sekarang...bila dah dewasa macam2 nak kena fikir

    ReplyDelete
  2. Jom pakat-pakat balik ke zaman kanak-kanak .. boleh ker??

    ReplyDelete