Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, February 2, 2009

AKU DAN ROKOK

ROKOK? Aku dihulurkan rokok oleh seorang sahabat selepas selesai majlis tahlil petang tadi. Aku menolak dengan senyuman. Dah berhenti kataku. Aku sudah berhenti merokok sejak 17 tahun lalu. Aku akui rokok memang sedap tak terkata, hinggakan tiada perokok yang dapat menerangkan kenikmatan sebenar merokok kepada mereka yang tidak merokok.

Aku bangga sendiri kerana berjaya melakukan sesuatu yang paling berat untuk aku lakukan, berhenti merokok. Aku yang kuat merokok, biasanya menghabiskan dua kotak sehari malah kadang-kadang lebih.

Pada tahun 1992 aku menyewa rumah di Sungkai. Pada waktu itu pekan Sungkai akan kaku dan mati selepas pukul 7.30 malam. Aku keputusan rokok malam itu. Gelisahnya tak tertahan. Aku terpaksa mencari puntung-puntung rokok dalam tempat abu rokok. Menghisap kembali sisa rokok yang sepanjang sekerat jari itu bukanlah sesuatu yang enak tapi kerana bibirku perlu berasap bila tiba masanya, itu terpaksa kulakukan. Akhirnya aku menyedari betapa buruk dan kotornya tindakanku itu. Kutekadkan dihati, aku mesti BERHENTI. FULL STOP.

Esoknya.. Ah..kosong rasa hidup tanpa rokok ketika termenung di bilik air.. Aku hela nafas panjang-panjang.. Tahan Nazeri tahan bisik hatiku. Selepas sarapan, huh.. kosongnya rasa tekak, dadaku merayu-rayu supaya dipamkan asap secukupnya.. Ku hela nafas yang panjang, tenang Nazeri tenang aku memujuk sendiri. Isteriku tidak menyedari satu perubahan yang sedang berlaku kepada suaminya ketika itu. Sengaja aku rahsiakan tekad untuk berhenti merokok kerana takut tak kesampaian atau terhenti sekerat jalan seperti yang sudah-sudah. Kali ini aku tak mahu mengecewakannya kerana dia sendiri sedang mengandungkan anak kami yang kedua.

Waktu memandu untuk ke sekolah, bergetar kaki dan tanganku menekan pedal minyak, kerana semuanya meronta untuk mendapatkan bahan 'penenang' yang tersembunyi dalam asap rokok yang kusedut selama ini. Sabar Nazeri sabar bisik hati baikku. Hati jahatku memujuk alah setakat sebatang takkan tak boleh kot... Sekali lagi nafas kutarik panjang-panjang. Dalam kepala aku terbayang wajah sahabat-sahabat aku yang tidak merokok, seorang demi seorang, mereka sihat, mereka riang, baju mereka tak busuk bau rokok, tak ada rokok kelangsungan hidup mereka terus juga berlaku, aku memujuk diriku sendiri.

Selepas seminggu bertahan, isteriku menyedari bahawa tidak ada lagi kotak rokok kosong dalam tong sampah di rumah sepeti biasa. Juga, tiada lagi bau rokok yang terlekat di pakaianku. Baru aku berani memberitahunya bahawa aku sedang cuba berhenti. Nampak benar dia gembira dan memberikan galakan agar aku akan berjaya dalam misi paling berat ini. Seterusnya aku makan gula-gula untuk mengurangkan keinginan untuk merokok kembali.

Untuk tempoh setahun hatiku tetap tergoda dengan bau dan asap rokok yang dihisap oleh para sahabat. Jalan selamat yang aku pilih ialah beredar dari tempat mereka berada. Alhamdulillah, sepanjang 17 tahun ini aku sudah 'sembuh' sepenuhnya daripada ketagihan rokok. Dan sepanjang 17 tahun ini jugalah isteriku akan menyisihkan RM200.00 daripada gajiku setiap bulan sebagai 'cukai rokok'. Setiap tahun, ketika bershopping untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri isteriku akan menyerahkan kepadaku RM 2400.00 bagi membeli apa sahaja pakaian yang aku ingini.

UNTUK PARA SAHABATKU YANG MEROKOK, BERHENTILAH KERANA DUNIA SEMAKIN SEMPIT BAGI MEREKA YANG MEROKOK.
UNTUK ISTERIKU, TERIMA KASIH, SAYANG.

3 comments:

  1. this is the best entry haji...nanti nak suruh orang tu baca...orang tu dah berhenti..cuma kadang2 jadi 'social' smoker katanye.

    ReplyDelete
  2. woah .. susah sekali untuk berhenti, saya juga demikian pak .. mungkin karena faktor lingkungan yang perokok aktif semua ya..

    omdimas

    ReplyDelete
  3. Cutting down your cigarettes?

    Saya ada cara utk berhenti merokok dgn mudah. Harga rokok pun dah melambung2. Baik guna duit tu utk beri reward pada anak2 ke, utk bawa isteri candle light dinner ke, htr mak ayah g umrah ke, derma kat tahfiz ke, bayar zakat ke.....kan....

    So, siapa nak berhenti merokok boleh contact saya 01137007328 Azah

    ReplyDelete