Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, February 12, 2009

Tangkap Lalat

Berbelas tahun dahulu, aku ditetapkan untuk menjadi guru kelas Tingkatan 2H2 (H: Hijau, boleh juga Hantu). Kelas ini kelas yang paling terkebawah dari segi akademiknya tetapi kelas yang teratas dari segi masalah kawalan disiplinnya. 100 % pelajarnya lelaki. Guru perempuan yang mengajar di kelas ini sentiasa akan makan hati. Sebagai langkah kawalan disiplin di kelas ini, ketepikan sama sekali pendekatan psikologi, gantikan dengan tamparologi dan sepakologi. Tetapi jangan harap pendekatan itu akan berkesan untuk tempoh waktu yang melebihi suku jam.

Pada suatu hari kebisingan yang ditimbulkan oleh para pelesit dan jembalang kelas ini tidak dapat aku kawal lagi. Dam! Satu ‘letupan’ terhasil daripada bunyi meja kuhempaskan ke lantai. Satu kelas akhirnya terdiam. Kalau kamu nak tahu saya adalah pakar dalam ilmu persilatan, kataku seolah-olah mengancam pelajar Tingkatan 2 itu yang pada pandanganku semakin kecil. Kalau kamu nak merasai tendangan pendekar cubalah kamu buat bising lagi. Semua diam buat seketika, tetapi sekali-sekali bunyi omelan budak-budak tu masih kedengaran.

Tiba-tiba seekor lalat terbang melintas di depanku. Bunyi dengungan sayapnya dapt di dengar ke seluruh kelas . Spontan sahaja aku cuba menangkap lalat itu. Ditakdirkan lalat itu ( mungkin lalat itu buta agaknya) tersepit di antara jari terlunjuk dan jari hantuku. Hah! Tengok kataku kepada pelajar kelas 2H2. Apa lagi mereka bertepuk tangan sambil menjerit-jerit seperti meraikan kejayaan menangkap lalat buta. Tak jalan juga pendekatanku kali ini.

Kini aku lebih sabar menghadapi kerenah dan keletah anak-anak murid. Pengalaman mengajarku bagaimana untuk menghadapi situasi dan realiti di bilik darjah yang semakin mencabar.

1 comment:

  1. Kaedah tamparlogi, sepakologi dan sebatrologi memang berkesan dalam mendidik generasi muda terutama pelajar sekolah seperti yang dilakukan guru-guru terdahulu. Malangnya dek bantahan NGO, lahirlah generasi yang degil, keras kepala dan berhati kejam seperti sekarang..

    ReplyDelete